9/23/09
FELDA Sungai Tiang adalah sebuah tanah rancangan yang telah dibuka bermula tahun 1959. Sebelum merdeka, kawasan tanah FELDA Sungai Tiang menjadi sebuah tempat persembunyian komunis. Komunis yang bersembunyi di tempat yang diberi nama Bukit Rimau itu kemudian hilang setelah tanah rancangan di buka di kawasan mereka.
Peneroka FELDA Sungai Tiang yang kebanyakannya berasal dari Kedah ini dipilih dari keluarga yang benar-benar daif pada ketika itu. Setiap sebuah keluarga akan menerima tiga hektar tanah untuk menanam getah, suku ekar tanah untuk membina rumah serta dua ekar tanah untuk dusun buah-buahan. Setelah tanah dibahagi-bahagikan kepada peneroka, mereka akan menebang dan menebas kawasan hutan untuk dibuat penempatan. Kayu hutan yang ditebang digunakan untuk dibina rumah secara bergotong-royong sesama peneroka FELDA.
Lain pula ceritanya dengan sejarah yang mengaitkan nama Sungai Tiang. Sungai Tiang satu ketika dahulu mempunyai sebuah sungai yang besar dan luas. Pada ketika itu, pengangkutan utama masyarakat kampung ialah menaiki sampan dan juga perahu. Malah, hasil perkayuan seperti pokok-pokok balak turut menjadikan sungai sebagai pengangkutan untuk dihantar ke negeri-negeri lain. Batang-batang kayu seperti pokok balak, cengal dan meranti dipanggil tiang oleh penduduk Negeri Kedah. Maka, tiang ini sentiasa terapung dan melalui sungai yang berada di perkampungan tersebut. Dek kerana terlalu banyak kayu balak yang terapung di dalam sungai, maka akhirnya kampung tersebut digelar Sungai Tiang.